Jom Amalkan Gaya Hidup Sihat

Kebaikan Oat

Apakah Oat?

Oat adalah tanaman bijirin yang tahan lasak dalam keadaan tanah yang tidak subur dan cuaca yang buruk, tidak seperti tanaman lain. Bila dituai, sekam keras daripada oat perlulah dibuang sebelum ianya boleh dijual sebagai oat sepenuhnya, samada oat yang telah diproses atau berbiji. Selain sumber protein, oat tinggi kandungan mineral penting (mangan, selenium dan magnesium (yang merangsang penyerapan kalsium), Serat dan Vitamin B1 menjadikannya makanan tambahan yang baik untuk diet seharian. Oat bukan sahaja bagus untuk jantung kerana kandungan fibernya, tetapi juga sebagai pelindung yang bagus untuk saluran penghadaman. Oleh kerana semua nutrien penting terkandung di dalamnya, oat dikira penting untuk kesihatan secara keseluruhannya.

Manfaat Oat

Kerap makan oat boleh membantu menurunkan kadar kolesterol di dalam darah anda. Oat mengandungi beta glukan yang merupakan serat larut yang membantu menyerap kolesterol daripada badan semasa penghadaman. Kandungan karbohidratnya digelar “Frukto-oligosakarida” mampu merangsang pertumbuhan bakteria baik yang penting untuk merangsang kesihatan usus. Dengan jantung dan saluran penghadaman yang dijaga dengan baik, kita mengambil langkah yang lebih sihat berbanding mereka yang mengambil kurang bijirin penuh. Oat boleh dinikmati di dalam pelbagai cara, tetapi cara yang lebih mudah adalah dengan menikmati biskut Jacob’s Oatmeal, yang penuh dengan kebaikan oat.

Sumber: Jacob’s

Image

 

Tips Amalan Murah Rezeki

20 AMALAN MURAH REZEKI OLEH USTAZAH NOOR BAHYAH

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah-Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar-Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa-Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah -Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa-Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah-Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain-Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat-Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak -Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi -Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim-Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk-Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah-Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)-Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha-Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah -Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu-Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa-Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya-Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal-Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya

Generasi Baru Tulang Belakang Negara

Assalamualaikum…

Pengalaman menjadi seseorang fasilitator bukanlah sesuatu yang mudah kerana kita diberi tanggungjawab atau amanah yang besar dalam melaksanakannya agar apa yang kita lakukan memberi kesan yang besar kepada mereka. Saya pernah diberi tanggungjawab untuk menjadi salah seorang fasilitator dalam Program Pemantapan Modal Insan anjuran Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Machang, Kelantan. Program ini adalah khas untuk pelajar pra diploma di bawah program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

PPMI 2011

Program ini berlangsung selama 2 hari di mana ia dimulakan dengan sesi pendaftaran, solat berjemaah, forum, tazkirah dan latihan dalam kumpulan. Dalam program tersebut saya dan rakan-rakan diberi tugas untuk mengajar mereka tentang cara-cara bersolat dengan betul, bagaimana cara menjadi imam, cara berwuduk dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, ianya dilakukan di bawah pantauan ustaz dan ustazah. Hal ini kerana, apabila kita menyampaikan sesuatu ilmu kita harus memastikan bahawa apa yang kita ajar adalah betul dan bukannya ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah mereka. Mungkin ramai yang menganggap bahawa usia seperti mereka sudah tahu tentang perkara-perkara tersebut.

PPMI 2011 3

Sebenarnya, terdapat sebahagian pelajar yang masih belum mengetahuinya kerana tidak pernah didedahkan dan diajar dengan mendalam. Ilmu agama itu sangat penting kerana dengan adanya ilmu tersebut, iman kita tidak akan mudah goyah dan terhindar dari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Program ini memberi impak yang sangat besar dalam melahirkan modal insan kelas pertama yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum tetapi mempunyai akidah yang mantap.

PPMI 2011 2

KELUARGAKU INSPIRASI HIDUPKU

Setiap orang pasti mempunyai keluarga. Keluarga terdiri daripada ibu, ayah dan anak-anak. Tanpa keluarga tidak akan lengkap hidup seseorang insan yang bergelar manusia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Halaman 725 keluarga bermaksud saudara mara, kaum kerabat, sanak saudara, seisi rumahtangga (yang terdiri daripada suami, isteri atau berserta anak-anak). Saya juga mempunyai keluarga iaitu papa, ibu dan 5 orang adik-beradik. Sebagai seorang anak kita haruslah mengutamakan keluarga dalam apa jua yang kita lakukan. Dorongan dan nasihat dari keluarga amat penting bagi memastikan apa sahaja yang kita lakukan diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. Cuba kita bandingkan diri kita yang mempunyai keluarga dengan mereka yang tidak mempunyai keluarga. Jadi, hargailah keluarga kita sementara mereka masih ada dan jangan jadi seperti “kacang yang lupakan kulit”. Walau bagaimanapun, tidak semua insan di dunia ini menghargai keluarga mereka apabila mereka Berjaya. Doa saya agar hubungan saya dan keluarga akan berkekalan hingga ke akhir hayat. ::Cara-cara mengekalkan hubungan kekeluargaan::

  • Sentiasa luangkan masa bersama walaupun sementara
  • Pergi bercuti
  • Solat berjemaah
  • Sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t

“Saya Sayang Keluarga Saya”
Papa (Idola Saya)
Ibu (Inspirasi Saya)
Adik-adik (Semangat Hidup Saya) Image Kenangan gambar bersama keluarga di Masjid Kristal, Terengganu

Image

Eksplorasi di Tempat Beriklim Sejuk

Sebenarnya, dah banyak kali saya pergi bercuti dan membuat lawatan di tempat yang beriklim sejuk iaitu Cameron Highlands. Sewaktu saya di sekolah menengah saya dapat pergi 2 kali ke tempat ini iaitu semasa di tingkatan 4 dan tingkatan 5. Bayaran yang dikenakan oleh pihak sekolah juga murah dan sangat berpatutan. Tempat ini begitu terkenal dengan tanah yang subur di mana terdapat pelbagai jenis tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan banyak lagi. Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan teh yang asli di sini kerana ia ditanam dan diproses di tempat tersebut.

Tambahan pula, strawberi juga sangat terkenal kerana ia tidak dapat ditemui di tempat lain. Kebanyakan penduduk atau pengunjung makan strawberi dengan madu atau coklat kerana rasanya akan bertambah lazat. Pengunjung juga berpeluang untuk masuk ke ladang strawberi dan memetiknya sendiri. Walaupun dikenakan bayaran, pengalaman itu lebih bermakna berbanding perkara lain. Dulu Cameron Highland sangat sejuk tempatnya, tetapi sekarang tidak lagi kerana keadaan bumi yang panas. Walau bagaimanapun tempat ini masih ada tarikannya yang tersendiri.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati adalah Taman Agroteknologi Mardi, Ladang The Bharat, Kea Farm, Pasar Malam Brinchang dan banyak lagi.

ch

Gambar di atas diambil sebelum kami keluar jalan-jalan dan ini semua gambar saya dan rakan-rakan sekelas iaitu 5 Science 1 (2009).

Lawatan ke RTM

RTM atau Radio Televisyen Malaysia merupakan stesen penyiaran nasional mengendalikan 33 stesen radio dan dua stesen radio jalur lebar. RTM turut memiliki 3 stesen televisyen termasuk satu stesen jalur lebar iaitu TVi. Namanya begitu sinonim dengan rakyat Malysia di mana berfungsi dalam menyampaikan maklumat secara cepat dan berkesan. Baru-baru ini iaitu pada tahun 2012 saya bersama rakan-rakan serta pensyarah iaitu Puan Nazhatul Sahima telah membuat satu lawatan ke RTM bagi melihat sendiri bagaimana fungsi RTM dalam memenuhi tanggungjawab sosial kerajaan menerusi khidmat siaran TV tidak berbayar dan tidak berorientasikan komersial sepenuhnya. Kedatangan kami disambut baik oleh pihak RTM dan juga salah seorang penyampai berita iaitu Shahril Sarapudin. Beliau merupakan bekas pelajar dari UiTM Machang.

DSC07906

Kami dibawa melawat di sekitar kawasan Angkasapuri iaitu Wisma TV dan Wisma Radio. Kami juga berkesempatan untuk melihat Shahril Sarapudin membuat persediaan sebelum menyampaikan berita jam 12.00 tengahari. Selain itu, pensyarah kami juga diberi peluang untuk menjadi tetamu dalam salah satu slot Selangor FM. Sebenarnya, bukan mudah untuk mendapat peluang sebegini. Sewaktu kedatangan kami ke Angkasapuri juga kami sempat melihat secara lansung slot Selamat Pagi Malaysia di mana tetamu pada hari tersebut adalah Imam Muda Asyraf. Beliau seorang yang baik dan peramah serta tidak keberatan untuk bergambar bersama kami semua.

DSC_0872

Kesimpulannya, sebagai seorang penyampai berita atau DJ Radio, komitmen yang tinggi sangat penting bagi memastikan apa yang disampaikan adalah berkesan dan pendengar tidak kecewa mendengarnya.

DSC_1025